Saturday, September 24, 2011

Teruskan Perjalanan Mu

Assalamualaikum.

Kepada para pembaca, ingin aku bertanya apa keadaan mu disana?. Mungkin sekali bahagia. Atau tidak merasa apa-apa. Sama sahaja dan tiada beza dengan semalamnya?

Namun ku yakin, keadaan kalian pernah berubah. Walau apa jua keadaannya, sebagai seorang pengharap ku doakan kalian mengalami perubahan yang lebih baik. Wallahualam, kita merancang, tuhan yang menentukan.

Terlalu asing untuk ku bertindak tenang di sini. Namun ku harus, agar tulisanku tidak pergi kepada dosa. Dosa kerana meminta diluar batasan takdir-Nya. Dosa kerana menutur kata yang membawa ku jauh dari keredhaan-Nya. Dosa kerana meluah seolah-olah ku tidak pernah mensyukuri ketentuan-Nya. Ampunkan ku kiranya ku pernah melakukan itu.

Kini, segalanya telah berlalu. Ku telah cukup dewasa untuk menilai sepanjang laluan hidupku. Walau kadang-kadang ku mentah bertindak spontan untuk menerima kejutan yang tak terduga, Alhamdulillah, ku masih diberi kesempatan masa dan tenaga untuk memperbaiki semua.

Bolehkah ku ingin kongsikan kejayaanku di sini? Kejayaan yang tiada peroleh sijil dan trofi pada nyatanya. Namun anugerah bahagia ini membuat aku terus laju menutur pena.

Nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga pada kuasa Yang Maha Pencipta lagi Maha Penyayang yang mendidik hamba ini. Yang menunjukkan jalan yang terang. Yang memberikanku kebenaran. Sehingga ku sentiasa rasa disayangi. Dia Tuhan yang satu dan tidak pernah meninggalkan ku. Juga tidak akan meninggalkan kamu kiranya kamu mengharapkan Nya dan meletakkan Dia di hatimu.

Terima kasih yang tidak terhingga dan tidak terbayar kepada junjungan Nabi kita. Segala pengorbanannya, kasih sayang pada umatnya, doa Baginda kepada kita, ilmu yang disampaikan kepada kita, sejarah dan pedoman Baginda. Dan segala-galanya... yang ku percaya Baginda jujur mahu melindungi kita dari azab api neraka. Ku hanya menangis mendengar sejarahnya. Ku merinduinya. Ku merinduinya Ya Tuhan.

Kepada ibu bapa dan keluarga yang tidak jemu melayan ragamku, sedaya upaya memahamiku, bersabar mengajarku dan kasih sayang yang membuat ku hangat di dunia Mu. Rakan seperjuangan ku, yang datang dan pergi menemani hari-hari dalam hidupku. Walau di mana mereka berada Engkau lindungi dan bantulah mereka Ya Tuhan.

Kepada pembaca yang mungkin tidak pernah mengenaliku. Juga ku ingin terima kasih kerana menjadi masyarakat kepadaku. Sedikit sebanyak kalian menyalurkan aku ilmu dan maafkan diriku kerana dalam berkongsi dunia ini, banyak bahagian yang tidak ku sengajakan. Kelalaian dan ketidakadilan sebagai khalifah bersama, ku mohon ampun yang terhingga.

Marilah kita sama-sama menuntut ilmu. saling berbuat baik dan mencintai atas nama-Nya. Teguri dan nasihatkan ku kiranya ku bersalah laku. Izinkanku memperbaiki cara untuk menyayangi kalian sebagai satu saudara. Saat ini ku sangat sayang kalian. Namun ku tidak tahu apa yang harus ku lakukan untuk sesuaikan keadaan.

Cuma apa yang boleh ku lakukan adalah ucapan... Sesiapa kalian yang pernah ada sejarah silam, maafkanlah semua ketelanjuran dan teruskanlah perjalanan. Susuri jalan yang benar. Teruskan hidup ini dan kita akan bertemu kelak di alam akhir nanti.

Akhir kata, sama-sama dan berdoalah kita semua dalam usaha mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat.

wassalam.

Saturday, April 23, 2011

Kerana


Tiada kata yang dapat memahami jiwa. Tiada tawa yang dapat mengubat duka. Walau ku curah sejuta bahasa, hati ini masih lagi terasa sakitnya. Juga ketawa yang ku ukir masih tidak dapat membasuh peritnya.

Benar. Kerana itulah rasa yang menemani setiap hariku. Kerana itu juga ku dapat memahami kamu. Setiap kata yang kamu bicara, ku percaya ia adalah sejuta kali lebih sengsara. Sejuta kali lebih hancur dari apa yang ku rasa. Kerana itu juga kita terpisah di dunia. Kita tidak dapat bersama kerana kesakitan yang masing-masing terima.

Maafkan ku kerana tidak dapat memaut mu. Kerana diriku sendiri tidak mampu untuk memeluk jiwaku. Hanya tinggal kepercayaan bahawa adanya Tuhan untuk ku tetap berdiri di jalanku. Ku harap kamu juga mempunyai kepercayaan itu. Hanya Tuhan yang dapat membantu mu. Kerana DIA lah yang menciptakan dirimu.

Kita tidak akan bertemu. Ku juga tidak berkeyakinan bahawa kamu akan menemui tulisan-tulisan ku. Namun ku harap dapat berkongsi sesuatu dengan mu buat kali terakhir ku. Sesuatu jawapan kepada pertanyaan tentang aku dan kamu.

Tahukah kamu ku selalu bertanya mengapa kita dipertemukan dalam keadaan kita tidak ditakdirkan untuk bersatu?. Mengapa ku mencintai mu yang menpunyai jalan jauh daripada ku? Mengapa ku dipimpin mencari mu di saat engkau akan pergi selama-lamanya dari ku? Setelah tujuh tahun ku biarkan ia berlalu?

Akhirnya ku tahu. Kerana Tuhan mahu sampaikan sesuatu buatku melalui dirimu. Iaitu ilmu. Banyak yang ku pelajari sepanjang kita bertemu. Tentang ini dan tentang itu yang tidak mungkin ku perolehi daripada buku. Ketahuilah bahawa sebelum ini terlalu banyak silap dalam hidup ku. Namun, kamu telah memberi ruang untuk ku temui nilai kemaafan, kejujuran, kebenaran dan kesetiaan yang lama ku buang jauh dari hidup ku. Dan satu-satunya ilmu yang sedang ku kumpul kekuatan untuk mengerti...“innalillahiwainnailaihirajiun”.

Sebelum itu...sebelum itu... Ku ingin ucapkan terima kasih kepada mu kerana hadir dalam hidupku. Halalkan ilmu dan apa yang telah berlaku. Dan ku akan teruskan berjalan tanpa kamu. Tanpa sesiapa pun. Hanya aku dan Tuhanku.

Selamat ulang tahun kelahiran buatmu..

18 April 2011.

Wednesday, April 13, 2011

cukup



Ketika ini hujan turun menemani.

Ketika ini ku sejuk di sini.

Terlalu sejuk sehingga ku mahu engkau datang mendakap ku..


Tidak. Cukuplah hanya melawat ku.

Cukup juga hanya sekadar memanggil nama ku dikejauhan mu.

Atau cukup kau bernafas di situ.

Saturday, April 9, 2011

Tuhan..Ku amat takut. Kepada kenyataan yg akan dibuktikan kepada ku. Tuhan, Engkau lindungilah roh ku dari kejahilan dan kejahatan diri ku.. Tuhan, ku mohon petunjuk Mu.

Thursday, April 7, 2011

Diari Cinta Untuk Kawan


Sesungguhnya Tuhan maha kaya dan bijaksana. Diciptakan dunia ini yang penuh warna, kontra dan saling berbeza. Siapa kata perbezaan itu hanya mendatangkan kerugian buat kita?

Kadang-kadang perbezaan itu ada manisnya. Sebagai manusia yang punya akal, alangkah hebatnya menikmati hikmah setelah berjaya untuk saling memahami antara kita. Kita punya budaya, bahasa, citarasa dan minat yang mungkin sama tapi tidak semestinya serupa. Maka, teringin pula hendak mengetahui apa perasaanya dapat mencintai perbezaan antara kita. Tentu bahagia bukan..

Namun hari ini ku ditanya. Sesuatu yang ku tak pasti jawapannya. Ku lebih banyak tersenyum dan ketawa berbanding memberikan kata. Maaflah kawan.. kerana sememangnya ku sudah lupa dan ku tidak tahu untuk memulakan bicara mengenainya.

Cinta? Kaum Adam?... Ku tidak tahu di mana ku campak semua. Ia semakin jauh dari pandangan. Maka ku cuba cari kekuatan untuk menyampaikan.

Sebelum terlewat, ku ingin memberitahumu kawan. Kaum Adam itu sememangnya berbeza dengan kita. Baik dari segi mental dan fizikal. Mereka adalah penyempurna dan memenuhi kekurangan kita. Kata-kata nasihatnya mampu membakar semangat dan perjuangan kita. Sedetik senyumnya memberi bahagia pada hari-hari kita. Memang agak sukar memahami mereka apatah lagi mahu memenangi hati mereka. Tapi sememangnya sekuat manapun, mereka tetap manusia yang memerlukan kita. Demi Tuhan, sayangi dan setialah dengan mereka. Semoga cinta kalian berkekalan hendaknya.

Namun, awaslah kawan. Disebalik keindahan adanya ranjau yang tidak kelihatan. Dalam merapatkan jurang perbezaan, ia menuntut pengorbanan. Memang akan ada halangan yang selalu menggugat iman. Kawan, ku harap engkau tidak meletakkan 100% kepercayaan. Cuma percayalah kepada ketentuan dan keredhaan Tuhan. Cungkillah seberapa banyak ilmu agar tiada istilah diperbodohkan. Sekiranya diri mu terluka, usahlah kau mendendami Adam. Kerana ia adalah lebih seribu kali menyakitkan berbanding diri mu memaafkan.

Sesungguhnya kawan, cinta manusia dan isi dunianya tidak secanggih cinta Tuhan. Suatu hari engkau akan faham apa yang ku maksudkan. Namun ia bukan alasan untuk diri mu mengotori cinta yang telah seseorang berikan. Mengertilah adanya setiap pembalasan dalam setiap perlakuan.

Seperti yang kamu tahu kawan, ku antara golongan yang banyak berdosa bersama kaum adam. Sama ada diriku seorang yang kejam atau telah menjadi mangsa keadaan, itu ku berserah kepada pengampunan Tuhan. Oleh itu, engkau sedang melihat diri ku serba kekurangan dan selalu hilang dari pandangan. Maka, selagi kalian punya kesempatan dan punya peluang memperbaiki keadaan, carilah jalan dan kenalilah mereka dengan kasih sayang.

Kawan, coraklah hidupmu penuh dengan warna-warna kebahagiaan. Tentang cinta, percayalah Tuhan telah lama ciptakan ia dengan jodohnya. Sesungguhnya Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kalian.

Salam Sayang dari Seorang Kawan.












Sunday, March 27, 2011

Ombak

Teluk Kemang, PD, N9.
27hb 03-2011

As'salam.

Untuk kali ke-3 dapat menjejaki kaki ke sini.. Bertempat di Port Dickson, Teluk kemang memang mempunyai pantai yang panjang. Dari pandangan, ku mengagak lebih dari 1 kilometer panjang. teringin nak jalan dari hujung kiri ke kanan, tapi macam x larat. insyallah nanti akan diusahakan.

Namun, pasir pantai agak pendek. lebih kurang 6 meter dari tempat pondok istirehat. Kelebihannya, taklah risau nak tinggalkan barang di pondok. Dengan jarak yang dekat, keselamatan barang lebih terjamin. Lagipun ibu bapa yang ada anak kecil lebih senang memantau pergerakkan mereka. cuma, istana pasir sukar dibina. Nak ke tengah ada laut, nak ke tepi ada orang nak lalu. Jadi, hanya istana comel main-main je yg berjaya dibina.

Hujung minggu pengunjung terlalu ramai. Seperti biasa masalah berebut toilet x pernah selesai. Tapi x kuasa hendak ku ulas tentang masalah fasiliti dari pentadbiran. Urusan keduniaan bukan menjadi topik keutamaan di sini. Maaf...

Tujuan utama ku di sini mencari ketenangan. Tu sebab mengapa sudi mendaftarkan diri untuk ikut serta dalam program. Macamana pun Terima Kasih & Kredit to PsyClub (Pusat Psikologi & Pembangunan Manusia) yang berjaya menganjurkan. Terima kasih juga kepada kawan2, senior & junior yg telah menghangatkan suasana. Penat ku ketawa dengan segala gelagat.

Terus terang, ku amat merindui ombak. Bila ditanya apa hubungan ku dengan ombak, dia hanya pendengar setia cerita karut ku. Juga penyampai pesanan ku buat seseorang yang ku tak tahu entah di mana.

Namun ia kini sudah tak memberi apa-apa makna. Setelah ku membawa diri, hanya tinggal semangat Ombak yang tinggal. Jadi ku usulkan nama itu dalam projek Rancangan Perniagaan.

Diri ku amat kelakar kan, Ya Tuhan. Namun ku sempat berbisik pada pantai ciptaan Mu. Kamu sangat cantik & terima kasih kerana pernah membantu ku. Teruskanlah menghempas pantai dan berilah mereka bahagia dengan bermain ombak itu.

Tuhan, ku harap kali ke-4 atau seterusnya..juga dimana-mana ombak yang ku jumpa, ku lebih tenang dari sebelumnya. Kepada Mu, Ku mohon, kau lindungilah dia..dunia dan akhirat.

Wasalam.






Monday, March 21, 2011

Ketenangan

Selama perjalanan hidup ini, betapa minda ku begitu sibuk. Sibuk dengan mengejar pelajaran, fikir bagaimana pekerjaan, berangan macam-macam barangan dan lalai dengan percintaan. Bila tak berkesampaian, mulalah timbul rasa kekecewaan. Jujurnya, tangisan lebih banyak membuktikan rasa ketakpuashatian dan bukannya rasa kesyukuran.

Benar, Tuhan maha pengasih dan maha penyayang. Dia menunjukkan ku apa itu kebenaran. Memang sukar untuk dimengertikan. Namun kini ku memahami bukan kekayaan dan kedudukan menjanji kebahagiaan. Bukan kemenangan dan bukan pujian yang menjanjikan ketenangan. Dunia ini penuh ujian di mana kesenangan itu mampu mengumpan kepada kedukaan.

Tuhan, kini ku tenang setelah ku serahkan kepada maha besar-Mu. Ku mengerti apa yang ditetapkan untukku itulah yang terbaik buatku. Sesungguhnya manusia yang lemah seperti ku tidak layak menidakkan maha bijaksana Mu. Maafkan ku kerana ku pernah menyalahkah kegagalan, pernah berdendam dan pernah melepaskan geram. Ampunkan segala kejahilanku Ya Tuhan.

Mulai kesedaran yang telah Engkau berikan, ku mohon segala petunjuk dan pimpinan untuk ku teruskan perjalanan. Izinkan ku mengeratkan ikatan persaudaraan, bantulah jua ku tunaikan perjanjian, jadikanlah ku insan yang membahagiakan dan jauhkan diri ku dari kesombongan. Lindungi mereka yang ku sayang. Lindungilah semua hamba-Mu, wahai Tuhan.



Monday, March 7, 2011

Senyumlah dan berbahagialah sepertinya hari ini mereka yang menyayangi kamu masih di sisi.

Sentiasa tenanglah seolah-olah hari ini tiada apa yang berlaku utk menggugat keyakinanmu.


Bersyukurlah kerana hari ini masih ada buat mu.

Ketawalah demi orang-orang yang masih mengharapkan hidupmu.

Sejahteralah dan jangan biarkan jiwamu pergi dahulu.

Sunday, February 6, 2011

Salam Dari Kenyataan

Betapa aku menginginkan sebuah kehidupan di mana aku boleh hidup dalam kesegaran. Seharian menikmati keindahan sambil memandang pohon dan memuji kebesaran-Mu Tuhan. Mendengar deru angin sambil berlagukan nama-Mu. Aku ingin tersenyum melihat kebahagiaan berada disekelilingku. Bersama dengan insan yang ku rindui setelah berkurun lama ku membohongi diri bahawa aku tidak pernah untuk mencintai. Segala kekuatan telah ku kumpul, segala ilmu cuba ku bongkah. Ku pelajari tentang perasaan, pemikiran, perlakuan, perhubungan dan kemanusiaan. Ku melihat apa peranan ku di sisi Pencipta dan seluruh alam ciptaan-Nya. Hati ku terbuka dan tanpa ku sedar kerelaan ku terbina dalam memahami ketentuan-Nya. Ya, aku benar-benar mencintainya. Tuhan, sesungguhnya Engkau lebih tahu hatiku telah Engkau pahatkan namanya.

Lalu dengan tekad ku ambil langkah mencari di mana hilangnya cinta. Memulakan bicara dan menunggunya. Penantian yang sesungguhnya bahagia dalam sengsara. Tuhan, Engkau telah menggerakkan hati ini dan pastinya takdir ini bukanlah sia-sia. Aku ingin mempercayai ketentuan-Mu.

22hb 1.. sinar itu akhirnya muncul. Tuhan, betapa bahagianya jiwa ini. Air mata ini jatuh tanpa ku pinta. Entahlah apa isyaratnya namun hati ini telah bersedia untuk berhadapan dengannya. Dalam diam ku berjanji untuk tidak meninggalkannya. Mungkinkah putik bunga kian memekar dan burung bersiulan menyorak menyambut niatku. Indahnya Tuhan. Indahnya dunia Mu.

Pertama kalinya aku merasa hati ini mahu berkata jujur dengan ku. Tuhan, hati ini meminta supaya aku cepat berubah. Tinggalkan dunia boneka. Tinggalkan cinta palsu yang tidak pernah wujud di hatiku. Hentikan daripada berkata dusta. Tunaikan janji yang telah tergantung tidak bertali. Bersihkan hidup ini. Memaafkan ketidakrelaan. Memaafkan sejarah. Memohon maaf pada tangisan yang pernah tumpah. Bergerak pada dunia nyata. Hidup dalam garisan Mu Ya Tuhan. Pelajari agama Mu. Memahami maha kasih Mu. Menangis untuk restu Mu.

Aku ingin belajar itu. Kerana aku mahu hidup bersamanya dengan kebahagiaan yang telah Engkau janjikan. Ku percaya Engkau akan tunaikan.

Namun... namun.. Ya Tuhan. Sekali lagi ku dikejutkan. Keindahan itu terlalu jauh dari pandangan. Peganganku terasa hilang. Dan ku mohon petunjuk-Mu Ya Allah. Ku memohon kekuatan dalam setiap perkataan yang akan ku luahkan. Ku mohon kemaafkan andai ia menyakitkan. Anggaplah kata-kata ini suatu perjanjian yang terakhir buat hati ku. Hati ku yang terduduk membisu.

Tuhan, air mata ini adalah bukti aku memahami Engkau adalah Maha Penentu yang terbaik buat hamba-hamba Mu. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa hikmahnya dengan apa yang telah terjadi. Kini, ia telah termaktub. Walau ku cuba memejam mata dan menidakkannya, ia tetap telah berlaku.

Tuhan, rasa sengsara ku tidak sehebat sakit perasaannya. Tangisan ku tidak sekuat tangisannya. Air mata ku masih mengalir. Namun bagaimana dengannya? Mungkin dia tidak mampu untuk meratap lagi. Hati ku masih memohon petunjuk-Mu, namun bagaimana dengan hatinya?

Bolehkah aku bermohon bagi pihaknya Ya Tuhan? Dia... Dia adalah seseorang yang dapat ku lihat pada kaca mata hati ini. Dia tidak berdosa kepada ku. Tapi apakah kesalahan dia sehingga Engkau uji dia begini. Hanya Engkau yang mampu menjawabnya Ya Tuhan. Kekuatannya untuk bertahan ku tidak tahu ditahap mana. Tetapi jangan sesekali Engkau rampas pertahanannya. Sesekali jangan biarkan dia berputus asa. Dakaplah dia dengan kasih sayang Mu Ya Tuhan. Genggamilah hatinya sepertimana telah Engkau genggam hatiku. Andai dunia ini telah ditakdirkan penuh dengan duka dan sengsara buat dirinya, ku mohon anugerahkanlah syurga yang akan mententeramkannya. Lindungilah dirinya dengan petunjuk Mu.

Tuhan,

Hujan di sini tidak pernah teduh. Hangat mentari tidak dapat membuang kedinginan hati. Perasaannya yang haus dalam kebanjiran itu tidak mungkin akan ku fahami. Kerana aku tidak pernah alami. Kerana aku pernah tidak endahkannya sebelum ini. Kehadiran ku di sisinya mungkin begitu lewat. Kerana ini juga, aku akan terus menyalahkan diri ini.

Namun, sekali lagi aku berpegang kepada takdir Mu. Perasaan dalam hati ku bukan mainan oleh Mu. Walau sekuat mana dia menolak ku, walau sekeras mana dia menyukai kepergian ku, aku tidak dapat meninggalkannya lagi. Hati ini tidak mungkin akan berhenti. Aku akan di sini. Menanti dan terus menanti kebahagiaan dirinya. Ku tidak meminta apa-apa daripadanya kecuali keizinan untuk ku terus menyayangi.

Ku mohon petunjuk, bagaimana cara agar aku tidak melukainya. Tidak mahu membiarkan dia sengsara. Apa yang perlu aku lakukan untuk menemani hari-harinya?. Tuhan, hidupnya tidak lama di dunia. Harapannya untuk sembuh sungguh tipis. Mungkinkah dia akan hilang dari pandanganku? Bila? Esok, lusa? Ku tidak tahu bila aku harus terima untuk melepaskannya. Namun, Izinkan ku memperoleh kekuatan untuk terus berada di sisinya. Jua kekuatan untuk aku menerima bahawa kami tidak mungkin akan bersama.

Tuhan, andai hujan terus menemani hatiku yang masih membisu. Biarkan ia terus lebat membasahi agar tangisanku ini tidak kelihatan hingga ke akhirnya nanti. Bunyi deraian akan menjadi melodi hidup ku buat selamanya. Biarkan hujan ini menggantikan rajah pohon dan deru angin untuk ku terus memanggil nama-Mu.