Monday, March 21, 2011

Ketenangan

Selama perjalanan hidup ini, betapa minda ku begitu sibuk. Sibuk dengan mengejar pelajaran, fikir bagaimana pekerjaan, berangan macam-macam barangan dan lalai dengan percintaan. Bila tak berkesampaian, mulalah timbul rasa kekecewaan. Jujurnya, tangisan lebih banyak membuktikan rasa ketakpuashatian dan bukannya rasa kesyukuran.

Benar, Tuhan maha pengasih dan maha penyayang. Dia menunjukkan ku apa itu kebenaran. Memang sukar untuk dimengertikan. Namun kini ku memahami bukan kekayaan dan kedudukan menjanji kebahagiaan. Bukan kemenangan dan bukan pujian yang menjanjikan ketenangan. Dunia ini penuh ujian di mana kesenangan itu mampu mengumpan kepada kedukaan.

Tuhan, kini ku tenang setelah ku serahkan kepada maha besar-Mu. Ku mengerti apa yang ditetapkan untukku itulah yang terbaik buatku. Sesungguhnya manusia yang lemah seperti ku tidak layak menidakkan maha bijaksana Mu. Maafkan ku kerana ku pernah menyalahkah kegagalan, pernah berdendam dan pernah melepaskan geram. Ampunkan segala kejahilanku Ya Tuhan.

Mulai kesedaran yang telah Engkau berikan, ku mohon segala petunjuk dan pimpinan untuk ku teruskan perjalanan. Izinkan ku mengeratkan ikatan persaudaraan, bantulah jua ku tunaikan perjanjian, jadikanlah ku insan yang membahagiakan dan jauhkan diri ku dari kesombongan. Lindungi mereka yang ku sayang. Lindungilah semua hamba-Mu, wahai Tuhan.



No comments: