Saturday, April 23, 2011

Kerana


Tiada kata yang dapat memahami jiwa. Tiada tawa yang dapat mengubat duka. Walau ku curah sejuta bahasa, hati ini masih lagi terasa sakitnya. Juga ketawa yang ku ukir masih tidak dapat membasuh peritnya.

Benar. Kerana itulah rasa yang menemani setiap hariku. Kerana itu juga ku dapat memahami kamu. Setiap kata yang kamu bicara, ku percaya ia adalah sejuta kali lebih sengsara. Sejuta kali lebih hancur dari apa yang ku rasa. Kerana itu juga kita terpisah di dunia. Kita tidak dapat bersama kerana kesakitan yang masing-masing terima.

Maafkan ku kerana tidak dapat memaut mu. Kerana diriku sendiri tidak mampu untuk memeluk jiwaku. Hanya tinggal kepercayaan bahawa adanya Tuhan untuk ku tetap berdiri di jalanku. Ku harap kamu juga mempunyai kepercayaan itu. Hanya Tuhan yang dapat membantu mu. Kerana DIA lah yang menciptakan dirimu.

Kita tidak akan bertemu. Ku juga tidak berkeyakinan bahawa kamu akan menemui tulisan-tulisan ku. Namun ku harap dapat berkongsi sesuatu dengan mu buat kali terakhir ku. Sesuatu jawapan kepada pertanyaan tentang aku dan kamu.

Tahukah kamu ku selalu bertanya mengapa kita dipertemukan dalam keadaan kita tidak ditakdirkan untuk bersatu?. Mengapa ku mencintai mu yang menpunyai jalan jauh daripada ku? Mengapa ku dipimpin mencari mu di saat engkau akan pergi selama-lamanya dari ku? Setelah tujuh tahun ku biarkan ia berlalu?

Akhirnya ku tahu. Kerana Tuhan mahu sampaikan sesuatu buatku melalui dirimu. Iaitu ilmu. Banyak yang ku pelajari sepanjang kita bertemu. Tentang ini dan tentang itu yang tidak mungkin ku perolehi daripada buku. Ketahuilah bahawa sebelum ini terlalu banyak silap dalam hidup ku. Namun, kamu telah memberi ruang untuk ku temui nilai kemaafan, kejujuran, kebenaran dan kesetiaan yang lama ku buang jauh dari hidup ku. Dan satu-satunya ilmu yang sedang ku kumpul kekuatan untuk mengerti...“innalillahiwainnailaihirajiun”.

Sebelum itu...sebelum itu... Ku ingin ucapkan terima kasih kepada mu kerana hadir dalam hidupku. Halalkan ilmu dan apa yang telah berlaku. Dan ku akan teruskan berjalan tanpa kamu. Tanpa sesiapa pun. Hanya aku dan Tuhanku.

Selamat ulang tahun kelahiran buatmu..

18 April 2011.

Wednesday, April 13, 2011

cukup



Ketika ini hujan turun menemani.

Ketika ini ku sejuk di sini.

Terlalu sejuk sehingga ku mahu engkau datang mendakap ku..


Tidak. Cukuplah hanya melawat ku.

Cukup juga hanya sekadar memanggil nama ku dikejauhan mu.

Atau cukup kau bernafas di situ.

Saturday, April 9, 2011

Tuhan..Ku amat takut. Kepada kenyataan yg akan dibuktikan kepada ku. Tuhan, Engkau lindungilah roh ku dari kejahilan dan kejahatan diri ku.. Tuhan, ku mohon petunjuk Mu.

Thursday, April 7, 2011

Diari Cinta Untuk Kawan


Sesungguhnya Tuhan maha kaya dan bijaksana. Diciptakan dunia ini yang penuh warna, kontra dan saling berbeza. Siapa kata perbezaan itu hanya mendatangkan kerugian buat kita?

Kadang-kadang perbezaan itu ada manisnya. Sebagai manusia yang punya akal, alangkah hebatnya menikmati hikmah setelah berjaya untuk saling memahami antara kita. Kita punya budaya, bahasa, citarasa dan minat yang mungkin sama tapi tidak semestinya serupa. Maka, teringin pula hendak mengetahui apa perasaanya dapat mencintai perbezaan antara kita. Tentu bahagia bukan..

Namun hari ini ku ditanya. Sesuatu yang ku tak pasti jawapannya. Ku lebih banyak tersenyum dan ketawa berbanding memberikan kata. Maaflah kawan.. kerana sememangnya ku sudah lupa dan ku tidak tahu untuk memulakan bicara mengenainya.

Cinta? Kaum Adam?... Ku tidak tahu di mana ku campak semua. Ia semakin jauh dari pandangan. Maka ku cuba cari kekuatan untuk menyampaikan.

Sebelum terlewat, ku ingin memberitahumu kawan. Kaum Adam itu sememangnya berbeza dengan kita. Baik dari segi mental dan fizikal. Mereka adalah penyempurna dan memenuhi kekurangan kita. Kata-kata nasihatnya mampu membakar semangat dan perjuangan kita. Sedetik senyumnya memberi bahagia pada hari-hari kita. Memang agak sukar memahami mereka apatah lagi mahu memenangi hati mereka. Tapi sememangnya sekuat manapun, mereka tetap manusia yang memerlukan kita. Demi Tuhan, sayangi dan setialah dengan mereka. Semoga cinta kalian berkekalan hendaknya.

Namun, awaslah kawan. Disebalik keindahan adanya ranjau yang tidak kelihatan. Dalam merapatkan jurang perbezaan, ia menuntut pengorbanan. Memang akan ada halangan yang selalu menggugat iman. Kawan, ku harap engkau tidak meletakkan 100% kepercayaan. Cuma percayalah kepada ketentuan dan keredhaan Tuhan. Cungkillah seberapa banyak ilmu agar tiada istilah diperbodohkan. Sekiranya diri mu terluka, usahlah kau mendendami Adam. Kerana ia adalah lebih seribu kali menyakitkan berbanding diri mu memaafkan.

Sesungguhnya kawan, cinta manusia dan isi dunianya tidak secanggih cinta Tuhan. Suatu hari engkau akan faham apa yang ku maksudkan. Namun ia bukan alasan untuk diri mu mengotori cinta yang telah seseorang berikan. Mengertilah adanya setiap pembalasan dalam setiap perlakuan.

Seperti yang kamu tahu kawan, ku antara golongan yang banyak berdosa bersama kaum adam. Sama ada diriku seorang yang kejam atau telah menjadi mangsa keadaan, itu ku berserah kepada pengampunan Tuhan. Oleh itu, engkau sedang melihat diri ku serba kekurangan dan selalu hilang dari pandangan. Maka, selagi kalian punya kesempatan dan punya peluang memperbaiki keadaan, carilah jalan dan kenalilah mereka dengan kasih sayang.

Kawan, coraklah hidupmu penuh dengan warna-warna kebahagiaan. Tentang cinta, percayalah Tuhan telah lama ciptakan ia dengan jodohnya. Sesungguhnya Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kalian.

Salam Sayang dari Seorang Kawan.