Thursday, April 7, 2011

Diari Cinta Untuk Kawan


Sesungguhnya Tuhan maha kaya dan bijaksana. Diciptakan dunia ini yang penuh warna, kontra dan saling berbeza. Siapa kata perbezaan itu hanya mendatangkan kerugian buat kita?

Kadang-kadang perbezaan itu ada manisnya. Sebagai manusia yang punya akal, alangkah hebatnya menikmati hikmah setelah berjaya untuk saling memahami antara kita. Kita punya budaya, bahasa, citarasa dan minat yang mungkin sama tapi tidak semestinya serupa. Maka, teringin pula hendak mengetahui apa perasaanya dapat mencintai perbezaan antara kita. Tentu bahagia bukan..

Namun hari ini ku ditanya. Sesuatu yang ku tak pasti jawapannya. Ku lebih banyak tersenyum dan ketawa berbanding memberikan kata. Maaflah kawan.. kerana sememangnya ku sudah lupa dan ku tidak tahu untuk memulakan bicara mengenainya.

Cinta? Kaum Adam?... Ku tidak tahu di mana ku campak semua. Ia semakin jauh dari pandangan. Maka ku cuba cari kekuatan untuk menyampaikan.

Sebelum terlewat, ku ingin memberitahumu kawan. Kaum Adam itu sememangnya berbeza dengan kita. Baik dari segi mental dan fizikal. Mereka adalah penyempurna dan memenuhi kekurangan kita. Kata-kata nasihatnya mampu membakar semangat dan perjuangan kita. Sedetik senyumnya memberi bahagia pada hari-hari kita. Memang agak sukar memahami mereka apatah lagi mahu memenangi hati mereka. Tapi sememangnya sekuat manapun, mereka tetap manusia yang memerlukan kita. Demi Tuhan, sayangi dan setialah dengan mereka. Semoga cinta kalian berkekalan hendaknya.

Namun, awaslah kawan. Disebalik keindahan adanya ranjau yang tidak kelihatan. Dalam merapatkan jurang perbezaan, ia menuntut pengorbanan. Memang akan ada halangan yang selalu menggugat iman. Kawan, ku harap engkau tidak meletakkan 100% kepercayaan. Cuma percayalah kepada ketentuan dan keredhaan Tuhan. Cungkillah seberapa banyak ilmu agar tiada istilah diperbodohkan. Sekiranya diri mu terluka, usahlah kau mendendami Adam. Kerana ia adalah lebih seribu kali menyakitkan berbanding diri mu memaafkan.

Sesungguhnya kawan, cinta manusia dan isi dunianya tidak secanggih cinta Tuhan. Suatu hari engkau akan faham apa yang ku maksudkan. Namun ia bukan alasan untuk diri mu mengotori cinta yang telah seseorang berikan. Mengertilah adanya setiap pembalasan dalam setiap perlakuan.

Seperti yang kamu tahu kawan, ku antara golongan yang banyak berdosa bersama kaum adam. Sama ada diriku seorang yang kejam atau telah menjadi mangsa keadaan, itu ku berserah kepada pengampunan Tuhan. Oleh itu, engkau sedang melihat diri ku serba kekurangan dan selalu hilang dari pandangan. Maka, selagi kalian punya kesempatan dan punya peluang memperbaiki keadaan, carilah jalan dan kenalilah mereka dengan kasih sayang.

Kawan, coraklah hidupmu penuh dengan warna-warna kebahagiaan. Tentang cinta, percayalah Tuhan telah lama ciptakan ia dengan jodohnya. Sesungguhnya Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kalian.

Salam Sayang dari Seorang Kawan.












No comments: