Sunday, February 6, 2011

Salam Dari Kenyataan

Betapa aku menginginkan sebuah kehidupan di mana aku boleh hidup dalam kesegaran. Seharian menikmati keindahan sambil memandang pohon dan memuji kebesaran-Mu Tuhan. Mendengar deru angin sambil berlagukan nama-Mu. Aku ingin tersenyum melihat kebahagiaan berada disekelilingku. Bersama dengan insan yang ku rindui setelah berkurun lama ku membohongi diri bahawa aku tidak pernah untuk mencintai. Segala kekuatan telah ku kumpul, segala ilmu cuba ku bongkah. Ku pelajari tentang perasaan, pemikiran, perlakuan, perhubungan dan kemanusiaan. Ku melihat apa peranan ku di sisi Pencipta dan seluruh alam ciptaan-Nya. Hati ku terbuka dan tanpa ku sedar kerelaan ku terbina dalam memahami ketentuan-Nya. Ya, aku benar-benar mencintainya. Tuhan, sesungguhnya Engkau lebih tahu hatiku telah Engkau pahatkan namanya.

Lalu dengan tekad ku ambil langkah mencari di mana hilangnya cinta. Memulakan bicara dan menunggunya. Penantian yang sesungguhnya bahagia dalam sengsara. Tuhan, Engkau telah menggerakkan hati ini dan pastinya takdir ini bukanlah sia-sia. Aku ingin mempercayai ketentuan-Mu.

22hb 1.. sinar itu akhirnya muncul. Tuhan, betapa bahagianya jiwa ini. Air mata ini jatuh tanpa ku pinta. Entahlah apa isyaratnya namun hati ini telah bersedia untuk berhadapan dengannya. Dalam diam ku berjanji untuk tidak meninggalkannya. Mungkinkah putik bunga kian memekar dan burung bersiulan menyorak menyambut niatku. Indahnya Tuhan. Indahnya dunia Mu.

Pertama kalinya aku merasa hati ini mahu berkata jujur dengan ku. Tuhan, hati ini meminta supaya aku cepat berubah. Tinggalkan dunia boneka. Tinggalkan cinta palsu yang tidak pernah wujud di hatiku. Hentikan daripada berkata dusta. Tunaikan janji yang telah tergantung tidak bertali. Bersihkan hidup ini. Memaafkan ketidakrelaan. Memaafkan sejarah. Memohon maaf pada tangisan yang pernah tumpah. Bergerak pada dunia nyata. Hidup dalam garisan Mu Ya Tuhan. Pelajari agama Mu. Memahami maha kasih Mu. Menangis untuk restu Mu.

Aku ingin belajar itu. Kerana aku mahu hidup bersamanya dengan kebahagiaan yang telah Engkau janjikan. Ku percaya Engkau akan tunaikan.

Namun... namun.. Ya Tuhan. Sekali lagi ku dikejutkan. Keindahan itu terlalu jauh dari pandangan. Peganganku terasa hilang. Dan ku mohon petunjuk-Mu Ya Allah. Ku memohon kekuatan dalam setiap perkataan yang akan ku luahkan. Ku mohon kemaafkan andai ia menyakitkan. Anggaplah kata-kata ini suatu perjanjian yang terakhir buat hati ku. Hati ku yang terduduk membisu.

Tuhan, air mata ini adalah bukti aku memahami Engkau adalah Maha Penentu yang terbaik buat hamba-hamba Mu. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa hikmahnya dengan apa yang telah terjadi. Kini, ia telah termaktub. Walau ku cuba memejam mata dan menidakkannya, ia tetap telah berlaku.

Tuhan, rasa sengsara ku tidak sehebat sakit perasaannya. Tangisan ku tidak sekuat tangisannya. Air mata ku masih mengalir. Namun bagaimana dengannya? Mungkin dia tidak mampu untuk meratap lagi. Hati ku masih memohon petunjuk-Mu, namun bagaimana dengan hatinya?

Bolehkah aku bermohon bagi pihaknya Ya Tuhan? Dia... Dia adalah seseorang yang dapat ku lihat pada kaca mata hati ini. Dia tidak berdosa kepada ku. Tapi apakah kesalahan dia sehingga Engkau uji dia begini. Hanya Engkau yang mampu menjawabnya Ya Tuhan. Kekuatannya untuk bertahan ku tidak tahu ditahap mana. Tetapi jangan sesekali Engkau rampas pertahanannya. Sesekali jangan biarkan dia berputus asa. Dakaplah dia dengan kasih sayang Mu Ya Tuhan. Genggamilah hatinya sepertimana telah Engkau genggam hatiku. Andai dunia ini telah ditakdirkan penuh dengan duka dan sengsara buat dirinya, ku mohon anugerahkanlah syurga yang akan mententeramkannya. Lindungilah dirinya dengan petunjuk Mu.

Tuhan,

Hujan di sini tidak pernah teduh. Hangat mentari tidak dapat membuang kedinginan hati. Perasaannya yang haus dalam kebanjiran itu tidak mungkin akan ku fahami. Kerana aku tidak pernah alami. Kerana aku pernah tidak endahkannya sebelum ini. Kehadiran ku di sisinya mungkin begitu lewat. Kerana ini juga, aku akan terus menyalahkan diri ini.

Namun, sekali lagi aku berpegang kepada takdir Mu. Perasaan dalam hati ku bukan mainan oleh Mu. Walau sekuat mana dia menolak ku, walau sekeras mana dia menyukai kepergian ku, aku tidak dapat meninggalkannya lagi. Hati ini tidak mungkin akan berhenti. Aku akan di sini. Menanti dan terus menanti kebahagiaan dirinya. Ku tidak meminta apa-apa daripadanya kecuali keizinan untuk ku terus menyayangi.

Ku mohon petunjuk, bagaimana cara agar aku tidak melukainya. Tidak mahu membiarkan dia sengsara. Apa yang perlu aku lakukan untuk menemani hari-harinya?. Tuhan, hidupnya tidak lama di dunia. Harapannya untuk sembuh sungguh tipis. Mungkinkah dia akan hilang dari pandanganku? Bila? Esok, lusa? Ku tidak tahu bila aku harus terima untuk melepaskannya. Namun, Izinkan ku memperoleh kekuatan untuk terus berada di sisinya. Jua kekuatan untuk aku menerima bahawa kami tidak mungkin akan bersama.

Tuhan, andai hujan terus menemani hatiku yang masih membisu. Biarkan ia terus lebat membasahi agar tangisanku ini tidak kelihatan hingga ke akhirnya nanti. Bunyi deraian akan menjadi melodi hidup ku buat selamanya. Biarkan hujan ini menggantikan rajah pohon dan deru angin untuk ku terus memanggil nama-Mu.