Saturday, July 10, 2010

Hati Yang Lebih Mengerti

Hati itu hanyalah organ yang boleh dipindah. Boleh didermakan kepada pesakit tegar. Pastinya orang yang menderma mempunyai hati yang ikhlas bukan?. Seronok andainya aku dapat menduga bahawa pesakit yang menerima juga akan berjangkit dengan keikhlasan yang sama. Tapi aku menulis bukan bagi pihak penderma atau pesakit. Aku tidak sakit untuk menerima hati dan juga tidak mendaftar pun untuk menderma. Kesombongan kata ini harap tidak menghukumi aku kelak.

Aku mungkin boleh bergurau dengan kata. Tapi tidak dengan hati. Selembut atau sekasar bahasa yang aku titip tidak menggambarkan sepenuhnya apa yang terbuku di dada. Hanya kemaafan yang sering aku ucapkan kepada diri. Hanya kerana aku tidak dapat membela hati sendiri yang selama ini setia melekat menemani.

Manusia mempunyai kelebihan yang boleh membaca naluri. Begitu juga dengan aku. Bukannya aku tak mendengar apa yang hati ini bicara, cuma keadaan memaksa aku memekakkan telinga. Kini bila dah pekak, mata pulak dah berjangkit kabur. Tulisan ini akan aku tamatkan sebelum aku sepenuhnya buta. Akhirnya nanti, satu hakikat yang harus aku terima ialah aku memerlukan penderma koklea dan kornea.

Aku percaya pada hatiku. Ia masih ada di dalam ku. Walau sekejam mana aku melayan dia, kesetiaannya berkata-kata membuat aku semakin menyukainya. Dia tak pernah berubah dan takkan pernah mati walau kadang-kadang aku sengaja menggigit racun.

Mereka mencipta pepatah “Menurut hati, akan mati”. Benarkah?? Mungkin. Selama aku tak menurut hati ini, aku terus hidup-hidup sahaja begini. Tapi, andai suatu hari nanti aku mendengarnya, adakah hati akan sanggup membunuh ku? Adakah dia sanggup mengkhianati ku setelah sekian lama berada di sisi ku?

Kejam andai ku menuduh hati begitu. Dia lahir dari perut ibu bersama-samaku. Menengking ku pun tidak pernah, mana mungkin dia akan mencederakan aku. Aku akan ingat selalu yang dia tetap sudi ketawa dan menangis bersamaku.

Andai hati boleh memaafkan aku. Janjiku hanya satu..aku akan memeluknya dari kesejukan hari-hari esok. Aku akan mengemis sebelum dia sakit dan akan menderma andai dia mahu pergi dari dalam dada ku. Supaya dia tetap berasa hangat dalam jagaanku dan bukannya beku dalam kurunganku.

No comments: