Saturday, September 24, 2011

Teruskan Perjalanan Mu

Assalamualaikum.

Kepada para pembaca, ingin aku bertanya apa keadaan mu disana?. Mungkin sekali bahagia. Atau tidak merasa apa-apa. Sama sahaja dan tiada beza dengan semalamnya?

Namun ku yakin, keadaan kalian pernah berubah. Walau apa jua keadaannya, sebagai seorang pengharap ku doakan kalian mengalami perubahan yang lebih baik. Wallahualam, kita merancang, tuhan yang menentukan.

Terlalu asing untuk ku bertindak tenang di sini. Namun ku harus, agar tulisanku tidak pergi kepada dosa. Dosa kerana meminta diluar batasan takdir-Nya. Dosa kerana menutur kata yang membawa ku jauh dari keredhaan-Nya. Dosa kerana meluah seolah-olah ku tidak pernah mensyukuri ketentuan-Nya. Ampunkan ku kiranya ku pernah melakukan itu.

Kini, segalanya telah berlalu. Ku telah cukup dewasa untuk menilai sepanjang laluan hidupku. Walau kadang-kadang ku mentah bertindak spontan untuk menerima kejutan yang tak terduga, Alhamdulillah, ku masih diberi kesempatan masa dan tenaga untuk memperbaiki semua.

Bolehkah ku ingin kongsikan kejayaanku di sini? Kejayaan yang tiada peroleh sijil dan trofi pada nyatanya. Namun anugerah bahagia ini membuat aku terus laju menutur pena.

Nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga pada kuasa Yang Maha Pencipta lagi Maha Penyayang yang mendidik hamba ini. Yang menunjukkan jalan yang terang. Yang memberikanku kebenaran. Sehingga ku sentiasa rasa disayangi. Dia Tuhan yang satu dan tidak pernah meninggalkan ku. Juga tidak akan meninggalkan kamu kiranya kamu mengharapkan Nya dan meletakkan Dia di hatimu.

Terima kasih yang tidak terhingga dan tidak terbayar kepada junjungan Nabi kita. Segala pengorbanannya, kasih sayang pada umatnya, doa Baginda kepada kita, ilmu yang disampaikan kepada kita, sejarah dan pedoman Baginda. Dan segala-galanya... yang ku percaya Baginda jujur mahu melindungi kita dari azab api neraka. Ku hanya menangis mendengar sejarahnya. Ku merinduinya. Ku merinduinya Ya Tuhan.

Kepada ibu bapa dan keluarga yang tidak jemu melayan ragamku, sedaya upaya memahamiku, bersabar mengajarku dan kasih sayang yang membuat ku hangat di dunia Mu. Rakan seperjuangan ku, yang datang dan pergi menemani hari-hari dalam hidupku. Walau di mana mereka berada Engkau lindungi dan bantulah mereka Ya Tuhan.

Kepada pembaca yang mungkin tidak pernah mengenaliku. Juga ku ingin terima kasih kerana menjadi masyarakat kepadaku. Sedikit sebanyak kalian menyalurkan aku ilmu dan maafkan diriku kerana dalam berkongsi dunia ini, banyak bahagian yang tidak ku sengajakan. Kelalaian dan ketidakadilan sebagai khalifah bersama, ku mohon ampun yang terhingga.

Marilah kita sama-sama menuntut ilmu. saling berbuat baik dan mencintai atas nama-Nya. Teguri dan nasihatkan ku kiranya ku bersalah laku. Izinkanku memperbaiki cara untuk menyayangi kalian sebagai satu saudara. Saat ini ku sangat sayang kalian. Namun ku tidak tahu apa yang harus ku lakukan untuk sesuaikan keadaan.

Cuma apa yang boleh ku lakukan adalah ucapan... Sesiapa kalian yang pernah ada sejarah silam, maafkanlah semua ketelanjuran dan teruskanlah perjalanan. Susuri jalan yang benar. Teruskan hidup ini dan kita akan bertemu kelak di alam akhir nanti.

Akhir kata, sama-sama dan berdoalah kita semua dalam usaha mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat.

wassalam.