Sunday, February 6, 2011

Salam Dari Kenyataan

Betapa aku menginginkan sebuah kehidupan di mana aku boleh hidup dalam kesegaran. Seharian menikmati keindahan sambil memandang pohon dan memuji kebesaran-Mu Tuhan. Mendengar deru angin sambil berlagukan nama-Mu. Aku ingin tersenyum melihat kebahagiaan berada disekelilingku. Bersama dengan insan yang ku rindui setelah berkurun lama ku membohongi diri bahawa aku tidak pernah untuk mencintai. Segala kekuatan telah ku kumpul, segala ilmu cuba ku bongkah. Ku pelajari tentang perasaan, pemikiran, perlakuan, perhubungan dan kemanusiaan. Ku melihat apa peranan ku di sisi Pencipta dan seluruh alam ciptaan-Nya. Hati ku terbuka dan tanpa ku sedar kerelaan ku terbina dalam memahami ketentuan-Nya. Ya, aku benar-benar mencintainya. Tuhan, sesungguhnya Engkau lebih tahu hatiku telah Engkau pahatkan namanya.

Lalu dengan tekad ku ambil langkah mencari di mana hilangnya cinta. Memulakan bicara dan menunggunya. Penantian yang sesungguhnya bahagia dalam sengsara. Tuhan, Engkau telah menggerakkan hati ini dan pastinya takdir ini bukanlah sia-sia. Aku ingin mempercayai ketentuan-Mu.

22hb 1.. sinar itu akhirnya muncul. Tuhan, betapa bahagianya jiwa ini. Air mata ini jatuh tanpa ku pinta. Entahlah apa isyaratnya namun hati ini telah bersedia untuk berhadapan dengannya. Dalam diam ku berjanji untuk tidak meninggalkannya. Mungkinkah putik bunga kian memekar dan burung bersiulan menyorak menyambut niatku. Indahnya Tuhan. Indahnya dunia Mu.

Pertama kalinya aku merasa hati ini mahu berkata jujur dengan ku. Tuhan, hati ini meminta supaya aku cepat berubah. Tinggalkan dunia boneka. Tinggalkan cinta palsu yang tidak pernah wujud di hatiku. Hentikan daripada berkata dusta. Tunaikan janji yang telah tergantung tidak bertali. Bersihkan hidup ini. Memaafkan ketidakrelaan. Memaafkan sejarah. Memohon maaf pada tangisan yang pernah tumpah. Bergerak pada dunia nyata. Hidup dalam garisan Mu Ya Tuhan. Pelajari agama Mu. Memahami maha kasih Mu. Menangis untuk restu Mu.

Aku ingin belajar itu. Kerana aku mahu hidup bersamanya dengan kebahagiaan yang telah Engkau janjikan. Ku percaya Engkau akan tunaikan.

Namun... namun.. Ya Tuhan. Sekali lagi ku dikejutkan. Keindahan itu terlalu jauh dari pandangan. Peganganku terasa hilang. Dan ku mohon petunjuk-Mu Ya Allah. Ku memohon kekuatan dalam setiap perkataan yang akan ku luahkan. Ku mohon kemaafkan andai ia menyakitkan. Anggaplah kata-kata ini suatu perjanjian yang terakhir buat hati ku. Hati ku yang terduduk membisu.

Tuhan, air mata ini adalah bukti aku memahami Engkau adalah Maha Penentu yang terbaik buat hamba-hamba Mu. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa hikmahnya dengan apa yang telah terjadi. Kini, ia telah termaktub. Walau ku cuba memejam mata dan menidakkannya, ia tetap telah berlaku.

Tuhan, rasa sengsara ku tidak sehebat sakit perasaannya. Tangisan ku tidak sekuat tangisannya. Air mata ku masih mengalir. Namun bagaimana dengannya? Mungkin dia tidak mampu untuk meratap lagi. Hati ku masih memohon petunjuk-Mu, namun bagaimana dengan hatinya?

Bolehkah aku bermohon bagi pihaknya Ya Tuhan? Dia... Dia adalah seseorang yang dapat ku lihat pada kaca mata hati ini. Dia tidak berdosa kepada ku. Tapi apakah kesalahan dia sehingga Engkau uji dia begini. Hanya Engkau yang mampu menjawabnya Ya Tuhan. Kekuatannya untuk bertahan ku tidak tahu ditahap mana. Tetapi jangan sesekali Engkau rampas pertahanannya. Sesekali jangan biarkan dia berputus asa. Dakaplah dia dengan kasih sayang Mu Ya Tuhan. Genggamilah hatinya sepertimana telah Engkau genggam hatiku. Andai dunia ini telah ditakdirkan penuh dengan duka dan sengsara buat dirinya, ku mohon anugerahkanlah syurga yang akan mententeramkannya. Lindungilah dirinya dengan petunjuk Mu.

Tuhan,

Hujan di sini tidak pernah teduh. Hangat mentari tidak dapat membuang kedinginan hati. Perasaannya yang haus dalam kebanjiran itu tidak mungkin akan ku fahami. Kerana aku tidak pernah alami. Kerana aku pernah tidak endahkannya sebelum ini. Kehadiran ku di sisinya mungkin begitu lewat. Kerana ini juga, aku akan terus menyalahkan diri ini.

Namun, sekali lagi aku berpegang kepada takdir Mu. Perasaan dalam hati ku bukan mainan oleh Mu. Walau sekuat mana dia menolak ku, walau sekeras mana dia menyukai kepergian ku, aku tidak dapat meninggalkannya lagi. Hati ini tidak mungkin akan berhenti. Aku akan di sini. Menanti dan terus menanti kebahagiaan dirinya. Ku tidak meminta apa-apa daripadanya kecuali keizinan untuk ku terus menyayangi.

Ku mohon petunjuk, bagaimana cara agar aku tidak melukainya. Tidak mahu membiarkan dia sengsara. Apa yang perlu aku lakukan untuk menemani hari-harinya?. Tuhan, hidupnya tidak lama di dunia. Harapannya untuk sembuh sungguh tipis. Mungkinkah dia akan hilang dari pandanganku? Bila? Esok, lusa? Ku tidak tahu bila aku harus terima untuk melepaskannya. Namun, Izinkan ku memperoleh kekuatan untuk terus berada di sisinya. Jua kekuatan untuk aku menerima bahawa kami tidak mungkin akan bersama.

Tuhan, andai hujan terus menemani hatiku yang masih membisu. Biarkan ia terus lebat membasahi agar tangisanku ini tidak kelihatan hingga ke akhirnya nanti. Bunyi deraian akan menjadi melodi hidup ku buat selamanya. Biarkan hujan ini menggantikan rajah pohon dan deru angin untuk ku terus memanggil nama-Mu.


Friday, January 14, 2011

kamu...

aku memanggil mu... namun ku teriak tanpa suara...
andai engkau berlalu pergi, itu adalah salahku.
memang salahku dan selamanya menjadi salahku.

aku tidak rela meminta maaf. kerana bagaimana mungkin aku dapat memaafkan diriku?...setelah engkau hilang dari pandanganku.

Friday, November 5, 2010

bacalah syg...

kekuatan. ku da habis bertahan.
tangisan. ku x mampu lg utk alirkan.
dan ku akan terus ketawa @ diam dgn setiap perbUatan.

kamu yg aku sayang...hatiku sememangnya sudah kering kontang. tApi demi kasiH yg masih di awAngan,,ku cuba tuk mEmanggil hujan. moga nnti tumbuhlah tUmbuhan yg indah & dpt mEnutup kegErsangan.

krn aku mahu hidup dgn niLai kemanusiaan. meLihat mu dgn rasa kecintaAn. menyentUh hati mu dengan kerEdhaan Tuhan.

kamu yg aku sayang...ku mohon kemaafan andainya aku gagal menjadi seorang insan. tinggalkan aku andai ia mula menyakitkan. its ok. krn ku sedaNg menerima keNyataan. takdir ku bukanlah dlm mmbina percintaan, tapi sebuah kehancuran.

skrg kamu melihat ku b'tindak menyongsang. ku bergerak tanpa pengErtian. ku menerima mu dlm ketakutan. adakah ia sebuah gurauan sayang?.

demi tuhan. ku katakan pada mu...aku telah mmbuka pintu. maka, tunjukkanlah aku pintu-pintu bahagia..hmmmm.. mgkin permintaan ku terlalu tinggi. namun telah ku katakan. aku tak mahu hidup dalam nilai kebinatangan. bantu lah aku sayang...

sekian.

Tuesday, September 28, 2010

Berikan Aku Pengertian

Pagi ini aku masih hidup. Dalam kesedaran aku dapat merasa udara-Mu. Betapa sejuknya disekeliling ku. Nyaman namun hati ku terasa beku. Dan dalam kebekuan ini aku melihat diriku begitu kerdil dalam alam ciptaan-Mu. Mengapa semalam aku tidak sedar akan semua kebesaran-Mu Ya Tuhan?

Engkau lebih tahu akan semalam ku. Memori ku hanya tersimpan segala kebahagiaan. Gelak, tawa serta hiburan yang ku utamakan. Mungkin aku terlupa bibit-bibit kelukaan. Atau Engkau sengaja memadam ingatan, agar aku sentiasa dalam senyuman. Namun mengapa aku tidak tahu erti kesyukuran Ya Tuhan?


Kali ini Engkau hadirkan dia. Aku fikir dia adalah anugerah yang perlu aku hargai dan sayangi. Dan dia yang telah kau beri kemampuan untuk mengingatkan aku segala kenangan. Aku menelan keperitan dalam kasih sayang. Tidak sampai 10 malam aku menggeleng kepala sebagai tanda penolakkan. Kejamkah keputusanku Ya tuhan?


Segalanya telah selesai. Aku jalani semua seperti biasa. Tidak perlu mengingat apa-apa. Makan, minum dan tidurku tidak terganggu. Aku pasti tingkah laku, pemikiran dan keputusanku adalah bebas buat ku. Sepatutnya aku ketawa dalam kelucuan. Namun mengapa saat ini aku menangis Ya Tuhan?


Pagi ini, aku menolak pemikiran ku jauh ke dalam. Mencari punca kejadian. Aku telah membuat kesilapan. Tapi aku tahu Ya Tuhan, demi masa aku tidak dapat putarkan semula keadaan. Segala-galanya sudah menjadi ketentuan. Dan dalam kesedaran yang telah Engkau berikan, aku bertanya dengan lembut…. Ya Tuhan, apa yang aku harus lakukan?


Berikanlah aku pengertian.

Sunday, September 19, 2010

Hilang Mu~


Kehilangan arah adalah sesuatu yang menakutkan. Ia tidak mengerikan tetapi engkau akan melihat kegelapan. Walau seribu matahari dihadiahkan dan berjuta cahaya saling bersebelahan, ianya tetap kelam. Berjalan dan terus berjalan. Mata yang terbuka tiada lagi pemandangan. Keindahan tertutup oleh kesengsaraan. Engkau menjalani hidup tanpa tujuan. Di mana letaknya kepimpinan?. Tiada kawalan dan perjuangan. Lalu engkau lepaskan apa yang engkau pegang. Kini tanggungjawab tidak lagi kau beri perhatian. Membutakan segala keadaan dan hakikat kehidupan. Memberi kesan peninggalan. Ia semakin menjadi lubang kekosongan. Dan tuhan. Mana telah engkau campakkan kepercayaan? Lupakah engkau ia adalah satu-satunya panduan. Untuk kau memperoleh kebahagiaan dan meninggalkan kedukaan. Betapa aku tak mengerti, sayang. Apa yang engkau fikirkan.....

Mungkin ku tak mengerti apa yang telah terjadi. Sesuatu yang telah merubah menjadi tragedi. Sakitkah untuk kau menelan ia sebagai realiti?
Aku...harap engkau akan hidup kembali. Selagi tuhan masih memberi nyawa, janganlah sesekali engkau cuba mati.. Aan. ku percaya tuhan akan membantu Mu. Hulurkanlah tanganmu dan Dia akan memautmu.. Semoga kembali.

Saturday, September 18, 2010

kau














Jauh kau lontar.

Renungan yang ku tak pasti mana kau pergi.

Menikam pandangan tanpa kasih.


Kau telah mengunci.

Hatimu dari menikmati.

Dan bersendiri.

Kau lebih kerap begini….


Sayang,

fitrahmu tidak mungkin dilahirkan begini.

Izinkanlah aku mengerti.

Apa yang telah terjadi.